Takaful Ikhlas Agih Hampir RM1 Juta Zakat

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Takaful Ikhlas Family Berhad dan Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat MNRB Holdings Berhad (MNRB) menyalurkan zakat perniagaan berjumlah RM956,200 bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad Datuk Rudy Rodzila Che Lamin dalam kenyataan berkata zakat menjadi instrumen penting dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat Islam di Malaysia.

“Sebagai pengendali takaful yang berlandaskan prinsip ta’awun dan peka dengan tanggungjawab sosial, Takaful IKHLAS percaya zakat adalah instrumen penting dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat Islam.

“Pada tahun ini, zakat perniagaan Takaful IKHLAS Family dan Takaful IKHLAS General disalurkan kepada institusi-institusi zakat di Sabah, Kelantan, Kedah, Perak, Melaka dan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan institusi zakat di negeri-negeri berkenaan dapat memastikan bantuan yang disalurkan sampai kepada golongan yang sangat memerlukan serta memberikan impak yang lebih mampan kepada kehidupan mereka.

“Kami melihat penyaluran zakat bukan sekadar satu kewajipan tetapi pelaburan sosial yang mampu membantu memperkasa komuniti, meningkatkan taraf hidup penerima dan menyumbang kepada pembangunan ummah secara menyeluruh,” katanya.

Penyaluran zakat itu mencerminkan komitmen berterusan Takaful IKHLAS dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat serta memperkasa kesejahteraan golongan asnaf melalui kerjasama dengan institusi zakat.

Pelaksanaan zakat perniagaan Takaful IKHLAS diselaraskan menerusi IKHLAS Barakah House (IBH), iaitu platform pengumpulan dan pengagihan dana patuh syariah yang diwujudkan bagi memperluas impak sosial syarikat menerusi lima fokus utama, iaitu pembangunan ekonomi, kesejahteraan kesihatan, pemerkasaan komuniti, peningkatan pendidikan serta kelestarian alam sekitar.

Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan menjadi penerima zakat tertinggi dengan menerima RM313,649.60 daripada Takaful IKHLAS General dan RM68,830.40 daripada Takaful IKHLAS Family.

Dalam pada itu, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK) masing-masing menerima RM156,842.80 daripada Takaful IKHLAS General manakala Zakat Melaka dan Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) masing-masing menerima RM51,622.80.