PASIR MAS, 6 Okt — Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang memerlukan tambahan anggota bagi mengoptimumkan kawalan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) berikutan peningkatan jumlah pengembara serta keperluan operasi dua syif.
Komander AKPS Rantau Panjang Siti Khadijah Hamzah berkata ketika ini, hanya 14 pegawai bagi satu syif ditempatkan untuk menjalankan pemeriksaan imigresen di kompleks berkenaan dan jumlah itu masih belum mencukupi.
Beliau berkata pihaknya telah mengemukakan data serta keperluan perjawatan kepada ibu pejabat AKPS untuk tindakan selanjutnya termasuk permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Keperluan tambahan anggota ini mengambil kira jumlah kaunter, sistem syif dan jumlah pengembara yang menggunakan kompleks ini,” katanya kepada Bernama di Kompleks ICQS Rantau Panjang, baru-baru ini.
Siti Khadijah berkata AKPS sebagai agensi baharu juga sedang melalui proses penstrukturan semula perjawatan di pintu-pintu masuk utama negara bagi memastikan setiap pintu masuk mempunyai kekuatan anggota yang bersesuaian dengan tahap operasi masing-masing.
Dalam pada itu, Siti Khadijah berkata kekurangan anggota bukan punca utama kesesakan kerana semua kaunter akan dibuka ketika waktu puncak, sebaliknya kesesakan lebih banyak dipengaruhi oleh kekangan prasarana serta aliran masuk ke kompleks.
Semalam, Bernama melaporkan kesesakan di Kompleks ICQS Rantau Panjang bukan disebabkan oleh kekurangan kaunter pemeriksaan, tetapi berpunca daripada hanya satu laluan masuk dan keluar serta gangguan sistem pada waktu tertentu.
Kesemua 12 kaunter pemeriksaan, iaitu enam kaunter masuk dan enam kaunter keluar, dibuka sepenuhnya, terutama pada waktu puncak bagi memastikan pergerakan pengembara dapat diproses dengan sebaik mungkin.

















Tinggalkan Balasan