PUTRAJAYA, 6 Okt — Penghantaran pulang pelarian Myanmar akan diteruskan selepas 5,000 individu yang dipersetujui kerajaan Myanmar untuk diterima pulang selesai dihantar, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
Bercakap pada sidang media operasi khas di sini hari ini, Zakaria berkata setakat ini 1,476 individu telah dihantar pulang menerusi fasa pertama bulan lepas, manakala lebih 3,000 lagi masih berada di negara ini.
“Ini proses (penghantaran pulang) yang berterusan, bukan setakat 5,000 ini sahaja. Kita tidak ada tetapkan kuota. Kalau boleh kita nak semua balik.
“Berdasarkan rekod kad dikeluarkan UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), jumlah pelarian berdaftar dalam negara kini melebihi 200,000 orang dan dianggarkan hampir separuh daripada jumlah tersebut merupakan warga Myanmar,” katanya.
Pada 29 Sept, Malaysia melaksanakan program penghantaran pulang fasa pertama melibatkan 1,476 tahanan warga Myanmar menggunakan tiga kapal, termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar, dengan semua individu terbabit terdiri daripada 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara lapan hingga 60 tahun.
Zakaria berkata bagi pelaksanaan fasa kedua, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) masih menunggu maklum balas Wisma Putra, untuk rundingan lanjut dengan pihak berkuasa Myanmar.
“Kita (Malaysia) akan teruskan rundingan dengan kerajaan Myanmar,” katanya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata jumlah pelarian di Malaysia masih belum dapat dikenal pasti secara tepat dan pihaknya bergantung kepada data pemegang kad yang dikeluarkan UNHCR.
“Saya tidak boleh bagi anggaran (jumlah), sebab itu kita laksanakan DPP (Dokumen Pendaftaran Pelarian). Tujuan utama DPP ini untuk kenal pasti berapa sebenarnya jumlah pelarian yang berada di negara kita,” katanya.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah sebelum ini dilaporkan berkata DPP iaitu sistem pendaftaran rasmi bagi pelarian di negara ini, telah dilaksanakan awal tahun ini.
Inisiatif itu dilaksanakan bagi menangani risiko keselamatan dan isu data yang tidak teratur selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 23.

















Tinggalkan Balasan