Lima Termasuk Dua Pengawai Penguat Kuasa Direman Kes Rasuah RM1 Juta

​JOHOR BAHRU, 28 Okt — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan reman lima individu, termasuk dua pegawai agensi penguat kuasa Persekutuan, selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta daripada sebuah agensi pekerja asing.

​Pengarah SPRM Johor Datuk Hazrul Shazreen Abd Yazid berkata perintah reman selama lima hari hingga 1 Nov depan dikeluarkan Majistret A. Dhilip Nair di Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini hari ini, selepas membenarkan permohonan dikemukakan SPRM.

​Beliau berkata tiga lagi individu yang ditahan merupakan ejen pekerja asing.

​”Kelima-lima suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 40 hingga 60-an ditahan antara 10 pagi hingga 4 petang semalam dalam operasi di sekitar Selangor dan Johor.

​”Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai bersubahat meminta dan menerima suapan sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja asing di bawah seliaan agensi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

​Hazrul Shazreen berkata perbuatan itu dipercayai dilakukan antara 2018 hingga 2025 membabitkan 44 transaksi pindahan wang secara dalam talian bernilai kira-kira RM1 juta sepanjang tempoh berkenaan.

​Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 hasil operasi yang dibangunkan oleh Bahagian Perisikan SPRM.