KTMB Tawar 1.57 Juta Tempat Duduk ETS Dan ERT Bagi Suku Pertama 2027, Tiket Mula Dijual 2 Nov

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 1,573,872 tempat duduk bagi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) untuk tempoh Januari hingga Mac 2027, meningkat 39 peratus berbanding tempoh sama tahun ini.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan jualan tiket bagi kedua-dua perkhidmatan itu akan dibuka secara berperingkat mulai 2 Nov bagi membolehkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal, khususnya menjelang cuti persekolahan, cuti umum dan musim perayaan.

Jualan tiket akan dibuka pada 12 tengah hari 2 Nov bagi perkhidmatan ETS dan ERT untuk tempoh perjalanan Januari hingga Februari 2027, manakala tiket ETS dan ERT untuk perjalanan Mac 2027 akan dijual pada 1 Dis ini.

Menurut kenyataan itu, daripada keseluruhan 1,573,872 tempat duduk yang ditawarkan, sebanyak 1,520,592 diperuntukkan bagi ETS manakala 53,280 tempat duduk bagi ERT.

“Jumlah itu mengatasi penawaran 1,131,500 tempat duduk bagi tempoh sama pada 2026, sekali gus menjadi penawaran tertinggi pernah disediakan KTMB bagi tiga bulan pertama tahun hadapan.

“Peningkatan kapasiti ini mencerminkan usaha berterusan KTMB dalam menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan bagi memenuhi keperluan pengguna perkhidmatan rel,” menurut KTMB.

Seiring peningkatan kapasiti, jumlah penumpang ETS diunjurkan meningkat 6.5 peratus kepada 6.28 juta orang pada 2027, berbanding unjuran 5.9 juta orang tahun ini.

Seiring dengan peningkatan permintaan perjalanan, KTMB akan menambah kekerapan perkhidmatan ETS pada 2027 daripada 44 perkhidmatan berjadual sehari pada 2026 kepada 50 perkhidmatan sehari dari Isnin hingga Khamis dan 58 perkhidmatan sehari bagi Jumaat hingga Ahad.

Peningkatan sehingga 14 perkhidmatan berjadual sehari itu turut melibatkan laluan JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral, yang akan menyaksikan pertambahan kekerapan daripada lapan kepada 12 perkhidmatan berjadual sehari.

Langkah itu dijangka menyediakan lebih banyak pilihan jadual perjalanan kepada penumpang, khususnya pada hujung minggu dan musim puncak.

Selain itu, KTM memaklumkan Stesen Kuala Lumpur Lama dan Stesen Subang Jaya akan diperkenalkan sebagai hab tambahan perkhidmatan ETS bagi memperluas akses kepada pengangkutan rel serta menyediakan pilihan stesen alternatif, sekali gus membantu mengurangkan tumpuan di KL Sentral ketika waktu puncak dan musim perjalanan sibuk.

Dalam perkembangan berkaitan, KTMB juga akan menyusun semula jadual perjalanan ETS jarak jauh mulai 1 Jan 2027, melibatkan beberapa laluan yang menghubungkan sektor utara dan selatan rangkaian perkhidmatan itu.

“Menerusi penyusunan semula ini, perjalanan terus menggunakan tren yang sama bagi laluan JB Sentral-Butterworth, JB Sentral-Padang Besar serta Butterworth-Segamat dan perjalanan arah sebaliknya tidak lagi ditawarkan.

“Penumpang bagi laluan berkenaan perlu membuat pertukaran tren di KL Sentral sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” menurut kenyataan itu.

KTMB memaklumkan pembelian tiket bagi perkhidmatan ETS jarak jauh yang memerlukan pertukaran tren di KL Sentral ketika ini perlu dibuat menerusi dua transaksi berasingan mengikut sektor perjalanan.

Bagaimanapun, penambahbaikan sistem tempahan sedang dilaksanakan KTMB bagi membolehkan pembelian tiket secara bersepadu melalui satu transaksi mulai Disember ini.

Sehubungan itu, penumpang dinasihatkan menyemak jadual bagi kedua-dua perkhidmatan ETS serta memastikan tempoh pertukaran tren yang mencukupi di KL Sentral sebelum membuat tempahan bagi mengelakkan kesulitan sepanjang perjalanan.

Orang ramai digalakkan mendapatkan tiket lebih awal melalui aplikasi KITS Style atau laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my, serta disaran menyemak jadual perjalanan terkini sebelum membuat tempahan, khususnya bagi perjalanan jarak jauh yang memerlukan pertukaran tren di KL Sentral.