KUALA LUMPUR, 27 Mei — ASEAN, negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China yang membentuk gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) US$24.87 trilion dan populasi sebanyak 2.15 bilion, menawarkan peluang amat besar untuk usaha sinergi pasaran, meningkatkan inovasi dan menggalakkan pelaburan rentas sempadan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Buat kali pertama, ASEAN, GCC dan China bersama-sama berada dalam susunan unik ini — tiga rakan dengan masing-masing kaya dengan sejarah, ketamadunan, budaya dan aspirasi bersama — bertemu untuk membuka lembaran dialog dan kerjasama baharu,” kata beliau ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Sidang kemuncak bertemakan “Penyatuan Peluang Eknomi ke arah Kemakmuran Bersama” itu merupakan acara yang julung-julung kali diadakan.
Hadir sama ialah Putera Mahkota Kuwait, Putera Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah yang juga Presiden Majlis Tertinggi GCC; dan Perdana Menteri China Li Qiang; Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Pada 2023, KDNK ASEAN mencecah US$3.8 trilion, menjadikan blok ini sebagai ekonomi kelima terbesar dunia.
Pada tahun yang sama, jumlah perdagangan dengan GCC adalah US$130.7 bilion manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bernilai US$390.2 juta.
Sementara itu, China, kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan perdagangan mencecah US$696.7 bilion dan US$17.3 bilion dari segi FDI, menunjukkan hubungan sedia ada yang utuh dan potensi besar yang belum diteroka.
“Saya berharap sidang kemuncak ini menjadi lembaran baharu dalam perjalanan ASEAN untuk penglibatan yang lebih terbuka sekali gus membuktikan perkara yang boleh dicapai apabila rakan-rakan bekerjasama dengan sikap saling menghormati dan berasaskan matlamat bersama,” kata beliau.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan menyuarakan keyakinan bahawa ASEAN, GCC dan China boleh memanfaatkan kelebihan unik masing-masing dan membentuk masa depan yang lebih terhubung, berdaya tahan dan lebih makmur untuk generasi akan datang.
Antara pemimpin ASEAN yang menghadiri acara pada hari ini ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja Hun Manet; Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone; Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh; Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr; Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong; dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.
Turut hadir ialah Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao sebagai Pemerhati, serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Tinggalkan Balasan