Sistem Penjagaan Kesihatan Gaza Hampir Lumpuh Sepenuhnya – ICRC

GENEVA, 9 Jun — Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) memberi amaran bahawa sistem penjagaan kesihatan di Gaza hampir lumpuh sepenuhnya, susulan tindakan genosid yang dilakukan oleh pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah itu selama lebih setahun setengah, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Dalam satu kenyataan pada Ahad, ICRC memaklumkan bahawa kebanyakan rakyat Palestin yang cedera sedang berusaha untuk sampai ke pusat agihan bantuan.

ICRC turut menyatakan bahawa beberapa hari kebelakangan ini menyaksikan peningkatan serangan di sekitar beberapa hospital yang masih beroperasi di Gaza, sambil menyeru supaya kemudahan penjagaan kesihatan yang masih ada dipelihara bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa.

Ia menegaskan bahawa petugas perubatan menghadapi cabaran besar untuk menyelamatkan nyawa dalam keadaan serangan berterusan, sekali gus mengancam keselamatan mereka dan kesinambungan operasi hospital medan.

Jawatankuasa itu mengesahkan bahawa kadar kemasukan pesakit yang cedera yang tidak pernah berlaku sebelum ini telah menyebabkan petugas perubatan keletihan, dengan hospital medan ICRC di Rafah menerima lebih 916 kes dalam tempoh dua minggu lepas, termasuk 41 mangsa yang disahkan meninggal dunia sebaik tiba.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda