Hentikan ‘Politik Sate’ Jika Mahu UMNO Kembali Kuat, Menang PRU16 – Asyraf Wajdi

BUKIT GANTANG, 20 Julai — Ahli-ahli UMNO di semua peringkat perlu segera menghentikan budaya ‘politik sate’ jika mahu parti itu kembali kuat dan memenangi undi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengambil analogi ‘politik sate’ bagi menggambarkan situasi perpecahan dalam UMNO selama ini, beliau menegaskan budaya itu antara penyebab kepada kelemahan parti keramat berkenaan. 

“Saya tekankan kepada perwakilan-perwakilan bahawa asas utamanya adalah kesatuan. Kena elak budaya politik nak mengapi-apikan, nak mewujudkan kabilah-kabilah dalam parti, nak mewujudkan persengketaan dalam kalangan pemimpin-pemimpinnya dan juga dalam kalangan anak-anak buah. 

“Jadi ‘politik sate’ ini adalah analogi yang tepat kerana adanya tukang cucuk, adanya tukang kipas, adanya tukang bakar, adanya tukang balik ke sana, terbalik ke sini (mengadu domba di sana, sini), jadi ini semua kita kena hentikan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang Mohammad Sollehin Mohamad Tajie. 

Asyraf Wajdi berkata selain itu, UMNO juga mesti kembali kepada landasan dan asas perjuangannya iaitu menjaga dan memelihara kepentingan agama bangsa dan juga tanah air. 

Beliau berkata apa-apa perkara yang boleh mengganggu dan menghilangkan fokus utama UMNO dalam perjuangan itu termasuk budaya ‘politik sate’ mestilah hentikan.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda