Cuba Keluar Negara Tanpa Pasport, 26 Penunggang Motosikal Ditahan Di BSI – AKPS

JOHOR BAHRU, 14 Nov — Sebanyak 26 penunggang motosikal rakyat tempatan yang cuba keluar dari negara ini tanpa mengemukakan pasport, di laluan motosikal Bangunan Sultan Iskandar (BSI) ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada 16 Okt lepas.

Menurut AKPS, kesemua mereka telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 2(2) Akta Pasport 1960 kerana meninggalkan Malaysia tanpa mengemukakan pasport kepada pegawai imigresen yang bertugas.

Daripada jumlah itu, 13 individu telah didakwa di Mahkamah PATI Pekan Nenas, Pontian semalam dan masing-masing dikenakan denda RM1,500.

“Sementara itu, tiga lagi yang ditahan ialah pembonceng dan telah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwaraya untuk dibebaskan dengan amaran bertulis,” menurut kenyataan AKPS hari ini.

Pada 6 Nov lepas, sebanyak 10 lagi individu disabitkan bersalah dan didenda RM1,000 setiap seorang .

Susulan insiden itu, AKPS menasihatkan pengguna laluan motosikal di BSI agar sentiasa mematuhi arahan untuk melapor kepada pegawai bertugas, sama ada secara manual atau melalui aplikasi yang disediakan, ketika masuk atau keluar negara.

“Mereka yang gagal berbuat demikian berisiko dikenakan tindakan undang-undang serta berkemungkinan kehilangan pekerjaan kerana pasport akan ditahan oleh pihak imigresen sepanjang siasatan dijalankan,” menurut kenyataan itu.