41,334 Pekebun Kecil Sertai Skim Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Dianggarkan seramai 41,334 pekebun kecil sawit melibatkan kawasan seluas 105,172.67 hektar dikenal pasti menyertai Skim Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0, menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata bagi Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS) pula dianggarkan sebanyak 826 pekebun kecil menyertai program berkenaan dengan melibatkan kawasan seluas 21,850.04 hektar.

Menurutnya, kedua-dua data berkenaan diperoleh berdasarkan rekod Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). 

“Kementerian mengalu-alukan cadangan Yang Berhormat Tangga Batu supaya bantuan penanaman semula diberikan dalam bentuk geran penuh dan disertai bantuan pendapatan sementara kepada pekebun kecil.

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada kos pelaksanaan serta ketersediaan peruntukan kerajaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi KPK di Dewan Rakyat hari ini.

KPK telah diperuntukkan sebanyak RM818.03 juta di bawah Belanjawan 2027 dengan RM470 juta diperuntukkan bagi lima inisiatif utama yang memberi tumpuan kepada sektor agrikomoditi termasuk RM100 juta bagi TSPKS 2.0 dan RM200 juta bagi PTSS.

Di bawah TSPKS 2.0, bantuan disediakan melalui kaedah pembiayaan hibrid yang merangkumi 50 peratus geran dan 50 peratus pembiayaan, tertakluk kepada syarat skim.

Skim berkenaan menyasarkan pekebun kecil yang memenuhi had keluasan kebun yang ditetapkan iaitu sehingga 6.5 hektar di Semenanjung dan sehingga 10 hektar di Sabah dan Sarawak.

Bagi pekebun kecil yang mempunyai keluasan kebun melebihi had TSPKS 2.0, Noraini berkata, PTSS turut disediakan dengan peruntukan sebanyak RM200 juta.

“Kedua-dua mekanisme ini menyediakan saluran bantuan yang mengambil kira keperluan pekebun kecil dengan skala pegangan yang berbeza bagi menggalakkan pembaharuan kebun tua dan mengekalkan produktiviti jangka panjang,” katanya. 

Sementara itu, Noraini menjelaskan kementerian akan memperluas program pendidikan berkaitan industri sawit kepada pemandu pelancong di Sarawak pada 2027 selepas melaksanakan program pendidikan melibatkan 400 pemandu pelancong di Johor, Pahang, Selangor dan Sabah menerusi 10 program setakat ini.

Beliau berkata program melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) itu bertujuan meningkatkan pengetahuan pemandu pelancong mengenai amalan pengurusan ladang sawit mampan, pensijilan MSPO serta manfaat dan kegunaan minyak sawit.