AirBorneo Sertai Pelaksanaan Inisiatif FLYsiswa

KUCHING, 11 Ogos — AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) mengumumkan penyertaan dalam pelaksanaan FLYsiswa, inisiatif subsidi perjalanan udara oleh kerajaan yang diterajui Kementerian Pengangkutan (MOT).

Inisiatif FLYsiswa membantu penuntut yang layak melakukan perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan menerusi baucar digital bernilai RM400 bagi tiket penerbangan ekonomi domestik mereka. 

AirBorneo dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi inisiatif itu, mereka menyasarkan untuk merapatkan jurang geografi dan meringankan tekanan kewangan dihadapi penuntut di universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi serta institut pendidikan guru.

“Dengan memanfaatkan rangkaian serantau dan kekerapan penerbangan AirBorneo yang semakin berkembang, penuntut kini boleh merancang perjalanan pulang semasa cuti semester, musim perayaan dan kecemasan tanpa terbeban dengan kos perjalanan yang tinggi,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata perjalanan menuntut ilmu memerlukan fokus, dedikasi dan ketenangan fikiran.

“Bagi ramai anak muda Malaysia yang belajar jauh dari rumah, khususnya antara Semenanjung Malaysia dan Borneo, kos tiket penerbangan tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama keluarga.

“Penyertaan kami dalam FLYsiswa mencerminkan kewajipan kami terhadap kebajikan masyarakat,” katanya.

Mereka yang berdaftar di institusi pengajian tinggi awam boleh menyemak kelayakan melalui portal rasmi MOT (subsidiudara.mot.gov.my) dan menebus baucar digital FLYsiswa RM400 secara terus semasa menempah penerbangan melalui laman web rasmi dan aplikasi mudah alih AirBorneo.

Tempoh penebusan baucar bagi penerbangan AirBorneo bermula dari hari ini hingga 30 Nov 2026 dengan tempahan sah untuk tarikh perjalanan hingga 31 Dis tahun ini.