Bahagian Awam IPO Manforce Group Terlebih Langganan 3.47 Kali

KUALA LUMPUR, 24 April — Bahagian awam tawaran awam permulaan (IPO) Manforce Group Bhd telah terlebih langganan sebanyak 3.47 kali susulan pemindahan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP kepada Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Menurut penyedia perkhidmatan pengurusan tenaga kerja asing, buruh kasar dan pengurusan asrama itu,  tawaran saham berkenaan yang berharga 38 sen sesaham telah menerima sebanyak 2,932 permohonan bagi 61.41 juta saham terbitan, dengan nilai keseluruhan RM23.34 juta.

Langkah IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 79,996,000 saham biasa baharu serta tawaran untuk jualan sebanyak 19,999,000 saham sedia ada.

Menurutnya, Tricor Investor and Issuing House Services Sdn Bhd dilaporkan memaklumkan, sebanyak 19,999,000 saham terbitan yang diperuntukkan kepada orang ramai mencatatkan kadar terlebih langganan keseluruhan sebanyak 2.07 kali.

Bagi bahagian bumiputera, sebanyak 1,270 permohonan untuk 16.73 juta saham telah diterima dengan kadar terlebih langganan sebanyak 0.67 kali ganda.

Sementara itu, bahagian awam menerima 1,662 permohonan bagi 44.68 juta saham, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 3.47 kali.

Selain itu, sebanyak 10 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak telah dilanggan sepenuhnya sekali gus mencerminkan keyakinan dalaman terhadap prospek syarikat.

Bahagian pelabur institusi dan tawaran saham persendirian turut mencapai langganan penuh.

Bahagian itu termasuk 29,999,000 saham terbitan dan 19,999,000 saham tawaran yang diperuntukkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta 19,998,000 saham terbitan yang ditawarkan kepada pelabur terpilih.

Notis peruntukan saham akan dikeluarkan kepada pemohon yang berjaya pada 4 Mei 2026.

M&A Securities Sdn Bhd berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd adalah penasihat kewangan.