KUALA LUMPUR, 11 Sept — Kaunter perladangan kekal menjadi tumpuan apabila bank-bank pelaburan mengekalkan pendirian positif berikutan lonjakan harga minyak mentah Brent melebihi US$100 setong didorong oleh ketegangan yang kembali meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Menurut MBSB Investment Bank Bhd, harga minyak mentah yang tinggi berpotensi mendorong harga tenaga meningkat, menambah baik ekonomi campuran biodiesel serta kebolehlaksanaan mandat B15 Malaysia dan B50 Indonesia.
“Ia secara tidak langsung menyokong penggunaan domestik yang lebih baik dan membantu menyerap lebihan bekalan minyak sawit,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Investment Bank Bhd memaklumkan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi, selain pengeluaran tandan buah segar yang meningkat dijangka terus menyokong peningkatan prestasi pendapatan syarikat perladangan Malaysia dan Indonesia pada suku ketiga 2026.
“Dengan kebarangkalian El Niño yang sangat kuat dan kini pada 95 peratus bagi tempoh Oktober hingga Disember 2026, kami menjangka impak ke atas pengeluaran akan dirasai terutamanya dari 2027 dan seterusnya,” katanya.
Semalam, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengeluarkan laporan bagi Ogos yang menunjukkan jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 196,590 tan atau 7.48 peratus kepada 2.82 juta tan pada Ogos 2026 daripada 2.62 juta tan pada bulan sebelumnya.
Eksport minyak sawit menurun 7.50 peratus kepada 1.29 juta tan pada Ogos 2026 daripada 1.39 juta tan pada bulan sebelumnya.
Stok MSM meningkat 15.20 peratus atau 217,092 tan kepada 1.64 juta tan daripada 1.42 juta tan pada Julai 2026.
Pada 11 pagi, harga saham SD Guthrie naik empat sen kepada RM6.24 dengan 4.36 juta saham diniagakan dan IOI Corporation tidak berubah pada RM4.79 dengan 242,500 saham diniagakan.
United Plantation mendatar pada RM33.30 dengan 135,300 saham diniagakan dan Kuala Lumpur Kepong menurun 40 sen kepada RM22.34 dengan 25,100 saham diniagakan.

















Tinggalkan Balasan