KUALA LUMPUR, 17 Julai — Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Suku Kedua 2026, DOSM memaklumkan prestasi itu disokong oleh pertumbuhan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali sektor pertanian yang mencatatkan penguncupan.
“Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.6 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding 4.5 peratus dalam tempoh yang sama pada 2025,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada suku tahun tersebut, meningkat sebanyak 5.4 peratus (suku pertama 2026: 5.6 peratus) dipacu oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.
Sektor pembuatan bertumbuh kukuh sebanyak 7.5 peratus pada suku kedua 2026, meningkat daripada 5.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.
“Prestasi yang lebih baik ini didorong oleh peningkatan output dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal, produk petroleum, kimia, getah dan plastik serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka,” menurut DOSM.
Sektor perlombongan dan pengkuarian melonjak kepada 10.2 peratus pada suku kedua 2026 berbanding penguncupan 2.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.
“Pemulihan yang ketara ini didorong terutamanya oleh peningkatan pengeluaran dalam subsektor gas asli pada suku tahun ini,” katanya.
Menurut DOSM, sektor pembinaan bertumbuh 6.6 peratus pada suku kedua 2026, lebih perlahan berbanding 7.7 peratus yang direkodkan pada suku tahun sebelumnya, disokong oleh prestasi positif dalam semua segmen terutamanya bangunan bukan kediaman dan aktiviti pembinaan pertukangan khas.
Dalam pada itu, DOSM memaklumkan sektor pertanian menguncup 3.7 peratus pada suku tahun ini berbanding pertumbuhan 2.6 peratus pada suku pertama 2026, disebabkan oleh prestasi yang lemah dalam subsektor kelapa sawit dan perikanan.
DOSM akan menerbitkan KDNK preliminari suku kedua 2026 pada 14 Ogos 2026.

















Tinggalkan Balasan