JOM MALAYSIA Platform Perkasa Produk Sabah Ke Pasaran Global

SANDAKAN, 25 Julai — Gerakan Nasional Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) diyakini mampu menjadi pemangkin dalam mengangkat produk dan jenama keluaran Sabah ke persada antarabangsa selaras dengan aspirasi “local to global” yang menjadi antara fokus Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata aspirasi JOM MALAYSIA bertepatan dengan agenda pembangunan ekonomi negeri yang menekankan pertumbuhan mampan, inklusif dan berdaya saing melalui pemerkasaan usahawan tempatan serta peluasan akses pasaran.

Beliau berkata JOM MALAYSIA bukan sekadar festival jualan atau platform promosi produk tempatan, sebaliknya satu gerakan strategik menghubungkan usahawan, kerajaan, pemain industri, institusi kewangan dan pengguna dalam membina ekosistem keusahawanan lebih kukuh.

“SMJ 2.0 dan JOM MALAYSIA berkongsi matlamat sama iaitu memperkasa usahawan tempatan, meningkatkan nilai tambah produk, perkhidmatan dan memperluas akses pasaran demi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

“Sinergi ini akan membina rantaian pembangunan lengkap bermula daripada pemerkasaan usahawan, pembangunan produk sehingga kepada peluasan pasaran, selaras dengan aspirasi “local to global”,” katanya ketika merasmikan Festival JOM MALAYSIA 2026 di Kompleks Sukan Sandakan, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick.

Hajiji berkata pemilihan Sabah sebagai antara lokasi penganjuran festival itu merupakan pengiktirafan terhadap kekuatan ekonomi negeri serta keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap potensi Sabah sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi di Malaysia Timur.

Mengenai potensi produk Sabah, Hajiji berkata pencapaian direkodkan usahawan tempatan sepanjang tahun lalu membuktikan kemampuan produk negeri ini untuk bersaing di peringkat global.

Beliau berkata seramai 124 usahawan Industri Kecil dan Sederhana Sabah menyertai 18 ekspo perdagangan antarabangsa pada 2025 dan berjaya merekodkan potensi jualan bernilai RM95.9 juta, meningkat 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta tahun sebelumnya.

Katanya kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Program Bantuan SME-UP di bawah SMJ 2.0 diterajui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan dengan peruntukan RM15 juta bagi membangunkan 600 perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Beliau berkata program Sabah Ready-to-Eat turut diperkenalkan bagi membantu mengkomersialkan produk makanan tempatan menerusi penyediaan geran pembangunan, bantuan mesin retort dan sokongan pensijilan halal untuk meningkatkan kebolehpasaran produk.

Menurutnya, kedua-dua inisiatif itu saling melengkapi aspirasi JOM MALAYSIA dalam membangunkan usahawan berdaya saing serta produk bersedia untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Hajiji berkata sektor pelancongan juga memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi “local to global” khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027.

Katanya Sabah merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat dengan hasil pelancongan RM8.74 bilion tahun lalu, menunjukkan potensi besar sektor itu sebagai pemangkin kepada promosi produk dan perkhidmatan tempatan.

Justeru, Hajiji mencadangkan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mempertimbang kerjasama dengan kerajaan negeri untuk memperluas penganjuran JOM MALAYSIA di lebih banyak destinasi strategik di Sabah sempena Tahun Melawat Sabah 2027.

Langkah itu akan dapat memperluas capaian program kepada usahawan tempatan, selain memperkukuh promosi produk Sabah kepada pelancong domestik dan antarabangsa, katanya.