KUALA LUMPUR, 15 Julai — Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperluas peluang pekerjaan bertaraf tinggi dan bergaji lumayan untuk tenaga kerja tempatan, termasuk di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata langkah proaktif merentasi pelbagai kementerian dan agensi itu bertujuan mengurangkan penghijrahan golongan belia dari luar bandar ke bandar-bandar besar.
Beliau berkata kerajaan juga menyedari kadar upah yang kompetitif dan setimpal ialah faktor penarik utama bagi mengekalkan golongan belia di kawasan asal mereka.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan turut melaksanakan usaha untuk memastikan kadar pembayaran yang lebih sesuai dan setimpal untuk semua pekerja melalui pelaksanaan gaji minimum di bawah Perintah Gaji Minimum 2024 yang berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
“Bagaimanapun, kerajaan menggalakkan majikan untuk menawarkan gaji yang lebih kompetitif serta pemberian elaun tambahan bagi menarik minat pekerja tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem (GPS-Serian) tentang langkah memperluas peluang pekerjaan, termasuk di Parlimen Serian, bagi mengurangkan penghijrahan golongan belia ke bandar-bandar besar, semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi memastikan pekerja menikmati pendapatan yang lebih baik, Khairul Firdaus berkata Panduan Gaji Permulaan dan kenaikan gaji tahunan telah diperkenalkan di bawah Dasar Gaji Progresif bagi mengimbangkan keupayaan majikan.
Beliau berkata di bawah Belanjawan 2026, pencari kerja atau graduan baharu yang perlu berpindah lokasi penempatan kerana menerima tawaran kerjaya akan diberi elaun mobiliti hingga RM1,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Khairul Firdaus berkata program Akademi Dalam Industri (ADI) di bawah KESUMA serta platform MyMahir oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) turut membantu menyediakan laluan kerjaya dan maklumat kemahiran yang menepati keperluan sektor ekonomi negara.
Menjawab soalan tambahan Richard Riot tentang manfaat penubuhan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Serian, beliau berkata pusat itu menawarkan program berkebolehpasaran tinggi melalui kerjasama dengan rakan strategik industri.

















Tinggalkan Balasan