Majikan Di Malaysia Perlu Pertimbangkan Pendekatan Baharu Laluan Kerjaya Konvensional

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Majikan di Malaysia perlu mempertimbangkan pendekatan baharu dalam pembangunan kerjaya apabila tinjauan terhadap tenaga kerja tempatan mendapati 44 peratus responden tidak berminat mengikuti laluan kerjaya konvensional yang berteraskan kenaikan pangkat secara berperingkat.

Sehubungan dengan itu, laluan kemajuan kerjaya alternatif perlu diwujudkan bagi pekerja profesional yang tidak berhasrat untuk memegang jawatan pengurusan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif GLOBIS Asia Campus Dr Takashi Tsutsumi berkata dapatan daripada tinjauan “Workmonitor 2026” oleh Randstad Malaysia itu menimbulkan persoalan tentang cara kejayaan kerjaya ditakrifkan, memandangkan semakin ramai golongan profesional mempertimbangkan pilihan lain selain mendaki hierarki korporat.

“Perkara ini menimbulkan persoalan penting kepada golongan profesional dan majikan di Malaysia iaitu jika kenaikan pangkat dalam hierarki organisasi bukan lagi satu-satunya ukuran kemajuan kerjaya, apakah yang sepatutnya menjadi ukuran baharu?” menurut kenyataan itu.

Tsutsumi berkata kejayaan kerjaya tidak seharusnya diukur berdasarkan gelaran jawatan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kepakaran dimiliki, kestabilan kewangan yang dicapai serta sumbangan yang diberikan melalui pekerjaan masing-masing.

Beliau berkata majikan perlu menyediakan peluang kemajuan kerjaya kepada pekerja profesional yang ingin mempertingkatkan kepakaran masing-masing tanpa perlu beralih ke jawatan pengurusan

Tsutsumi berkata peralihan ke jawatan pengurusan masih menjadi laluan paling jelas untuk memperoleh gaji lebih tinggi dan pengiktirafan lebih besar dalam kebanyakan organisasi, meskipun tidak semua pekerja profesional mempunyai kekuatan dan aspirasi kerjaya yang sama.

Beliau berkata jawatan pengurusan memerlukan kemahiran yang berbeza, termasuk membimbing rakan sekerja dan menangani isu prestasi kerja yang lemah, yang mungkin tidak selari dengan kekuatan atau aspirasi kerjaya setiap individu.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata majikan perlu mengiktiraf kemajuan kerjaya golongan pakar dengan menawarkan tanggungjawab yang lebih besar, pengiktirafan profesional serta imbuhan yang setimpal, tanpa menghendaki mereka menguruskan pasukan.

Beliau turut menegaskan perkembangan kerjaya perlu mengambil kira keutamaan individu, termasuk jaminan kewangan dan waktu bekerja yang lebih teratur, khususnya bagi mereka yang mempunyai tanggungan keluarga.

“Pada asasnya kejayaan dalam kerjaya bersifat peribadi. Oleh itu, peluang untuk mereka berkembang perlu disesuaikan dengan keutamaan masing-masing dan bukannya menganggap semua orang mempunyai matlamat kerjaya yang sama,” katanya.

Tsutsumi turut mengetengahkan konsep Jepun, “kokorozashi” atau misi peribadi, yang menggalakkan golongan profesional menilai sumbangan dan impak yang ingin dicapai melalui pekerjaan mereka dan bukannya hanya menumpukan perhatian pada jawatan yang ingin disandang.

Beliau berkata pendekatan itu dapat membantu individu mengenal pasti kemahiran dan keupayaan yang perlu dibangunkan bagi mencapai matlamat mereka, berbanding mengejar kelayakan atau kenaikan pangkat semata-mata.

Misi peribadi, katanya tidak semestinya terikat kepada satu laluan kerjaya sahaja, sebaliknya boleh berkembang dan berubah seiring dengan pertambahan pengalaman, peluang serta perubahan keutamaan individu berkenaan.

Beliau berkata bagi majikan, pemahaman yang lebih menyeluruh tentang kejayaan kerjaya perlu disusuli dengan penyediaan peluang yang bersesuaian, termasuk laluan kemajuan kerjaya khusus untuk golongan pakar, peluang mengetuai projek yang kompleks serta ganjaran setimpal dengan sumbangan pekerja.

“Kesimpulannya, mentakrifkan semula kejayaan dalam kerjaya bermaksud memberi kebebasan kepada pekerja profesional ini mengejar perkara yang penting bagi mereka, di samping memastikan kemahiran dan sumbangan mereka mendapat pengiktirafan serta ganjaran yang sewajarnya,” katanya.