KUALA LUMPUR, 11 Julai — Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan menjelang pengeluaran laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) pada Selasa depan, kata seorang penganalisis.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes memberitahu Bernama bahawa terdapat peluang munasabah data inflasi boleh menjadi lebih rendah, terutamanya jika harga tenaga yang lebih rendah mengekang lonjakan inflasi bulan lepas.
Bacaan IHP yang lebih rendah daripada jangkaan akan memperkukuhkan unjuran pelonggaran dasar kewangan Rizab Persekutuan (Fed) AS yang menyokong harga emas, selain daripada memberi tekanan kepada dolar AS.
Berdasarkan perbandingan mingguan, kontrak Julai 2026 susut kepada US$4,109.30 setiap auns troy pada Jumaat daripada US$4,183.40 sebelumnya, Ogos 2026 merosot kepada US$4,129.90 setiap auns troy daripada US$4,202.00, dan September 2026 menguncup kepada US$4,141.70 setiap auns troy daripada US$4,216.90.
Sementara itu, Oktober dan Disember 2026 berkurangan kepada US$4,172.20 setiap auns troy berbanding US$4,236.00 minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 493 lot daripada 667, manakala kepentingan terbuka susut kepada 105 kontrak daripada 392 seminggu sebelumnya.
Emas fizikal ditetapkan pada US$4,130.15 setiap auns troy pada penetapan 9 Julai, 2025 di London Bullion Market Association.

















Tinggalkan Balasan