ALOR GAJAH, 18 Okt — Lonjakan permohonan geran latihan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) membuktikan impak positif daripada langkah memperkemas sistem pelaksanaannya.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata reformasi ini bukan sahaja melancarkan proses, tetapi juga memperkukuh tatakelola dan ketelusan organisasi meskipun perkara itu bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan masa bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik.
“Di Melaka sahaja kini menghampiri angka 7,000 permohonan yang membuktikan bahawa semakin ramai merebut peluang ini dan dalam masa yang sama menjelaskan perubahan sedang berlaku.
“Bukan senang kita hendak mengubah sistem untuk melaksanakannya lebih secara teratur, mengikut tatakelola dan lebih telus … memakan masa yang agak panjang. Jadi, kita berterima kasih kepada seluruh pasukan organisasi HRD Corp atas usaha melaksanakan penambahbaikan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Siri Jelajah “Pocket Talk” HRD Corp-Dari Dasar Ke Rakyat di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp Datuk Shamir Aziz.
Beliau berkata di Melaka, sebanyak 6,995 permohonan geran latihan telah diluluskan, melibatkan 39,489 tempat latihan, manakala 24,729 peserta telah menerima latihan dengan bantuan kewangan berjumlah RM37.03 juta dan 7,734 tuntutan bernilai RM30.14 juta diluluskan.
Ramanan berkata setiap kelas latihan yang menggunakan dana levi sedia ada HRD Corp akan dipantau pegawai HRD Corp, sama ada secara bersemuka di lokasi atau secara maya bagi memastikan latihan berkenaan benar-benar dilaksanakan dan memberikan manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata pemantauan berkenaan penting bagi memastikan program latihan sampai kepada golongan sasaran dan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat.
“Saya ingin menggalakkan semua untuk memanfaatkan peluang ini, sama ada pekerja yang mahu meningkatkan kemahiran, graduan yang mencari pekerjaan atau individu yang ingin membina kerjaya baharu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata golongan wanita berpotensi mendapat manfaat daripada latihan dalam bidang penjagaan menerusi dana levi sedia ada HRD Corp, selaras dengan perubahan demografi negara ke arah masyarakat menua.
“Bidang ini perlu diberi perhatian bagi membantu memenuhi keperluan terhadap tenaga penjaga pada masa hadapan.
“Hal ini kerana apabila kita berada dalam masyarakat menua, perkara paling penting yang kita perlukan ialah penjaga,” katanya.















Tinggalkan Balasan