PM Anwar Adakan Pertemuan Dengan Fastprint Dan Fastrain, Bincang Peluang Pelaburan Industri Teknologi

SHENZHEN (China), 18 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan berasingan dengan pimpinan Fastprint dan Fastrain di sini hari ini bagi membincangkan perkembangan serta cadangan pelaburan kedua-dua syarikat itu di Malaysia.

Pertemuan itu berlangsung di luar acara rasmi Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026 pada minggu ini.

Perbincangan Perdana Menteri bersama kedua-dua syarikat itu tertumpu kepada industri semikonduktor dan elektronik termaju, komunikasi optik serta teknologi bateri dan penyimpanan tenaga.

Bidang-bidang ini membuka ruang untuk Malaysia meningkatkan keupayaan pembuatan dan kejuruteraan di samping menyokong perkembangan ekonomi digital serta peralihan tenaga negara.

Anwar menekankan kepentingan pelaburan tersebut yang membawa manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi dan penyertaan lebih luas syarikat tempatan dalam rantaian bekalan.

“Kerjasama dengan universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga perlu diperkukuh bagi menyediakan anak-anak Malaysia dengan kepakaran yang diperlukan industri,” kata beliau.

Beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan meneruskan tindakan susulan bersama syarikat serta agensi berkaitan bagi membantu kelancaran pelaksanaan projek dan memastikan komitmen pelaburan diterjemahkan kepada pembangunan industri serta peluang ekonomi untuk rakyat.

Naib Presiden kumpulan Fastprint Stan Zhou ketika ditemui media Malaysia berkata syarikat itu sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk melabur dalam pembinaan kilang papan litar tercetak (PCB) di Kulim High Tech Park, namun tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai rancangan itu.

Fastprint ialah pengeluar prototaip perkakasan dan PCB global serta pengeluar PCB dalam jumlah pengeluaran rendah yang ditubuhkan pada 1999 dan disenaraikan di Bursa Saham Shenzhen, dengan kemudahan operasi di China dan United Kingdom.

Sementara itu, Fastrain ialah syarikat elektronik dan pembuatan pintar global yang mengkhusus dalam komponen teras kebolehpercayaan tinggi untuk infrastruktur kecerdasan buatan, modul optik berkelajuan tinggi, kabel tembaga, elektronik automotif dan peranti komunikasi marin.

Selain itu, Anwar juga telah mengadakan pertemuan dengan China General Nuclear Power Corporation (CGN) dan Kingfa Sci & Tech Co Ltd bagi membincangkan potensi pelaburan serta peluang penyumberan dari Malaysia, selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan kerangka Ekonomi MADANI.

Perbincangan dengan CGN dan Kingfa tertumpu kepada peluang penyumberan komponen elektrik dan elektronik, sistem tenaga solar, bahan kimia khusus, resin polimer dan plastik kitar semula dari Malaysia bagi menyokong operasi dan rantaian bekalan global kedua-dua syarikat.

“Kerjasama perdagangan dan pelaburan ini perlu membawa manfaat langsung kepada ekonomi dan rakyat Malaysia, khususnya melalui penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi dan kepakaran teknikal serta penyertaan lebih meluas perusahaan kecil dan sederhana,” kata beliau.

Beliau berkata kerajaan MADANI akan terus memperkukuh usaha menarik pelaburan berkualiti dan memperluas peluang perdagangan yang mampu meningkatkan keupayaan industri tempatan, mempercepat pemindahan teknologi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat.