KUALA LUMPUR, 29 Okt — Syarikat penerbangan di Asia Pasifik membawa sejumlah 30.4 juta penumpang antarabangsa pada September 2026, meningkat sebanyak 0.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas, menurut Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA).
AAPA memberitahu, angka awal trafik bagi September 2026 menunjukkan jumlah penumpang antarabangsa meningkat sedikit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya selepas mencatatkan penurunan tahun ke tahun selama lima bulan berturut-turut.
“Pertumbuhan permintaan penumpang seperti yang diukur berdasarkan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) naik kepada 5.9 peratus.
“Dalam pada itu, kapasiti tempat duduk yang tersedia berkembang sebanyak 6.8 peratus. Keadaan ini menyebabkan faktor muatan penumpang antarabangsa purata menurun sebanyak 0.6 mata peratusan kepada 80.2 peratus,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, permintaan kargo udara antarabangsa yang diukur berdasarkan tan kargo setiap kilometer (FTK) meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun, mengatasi pertumbuhan kapasiti kargo yang tersedia iaitu sebanyak 4.9 peratus.
Keadaan ini meningkatkan faktor muatan kargo antarabangsa purata sebanyak 0.8 mata peratusan kepada 60.3 peratus pada September.
Pertumbuhan itu disokong oleh aktiviti pembuatan global yang lebih kukuh, peningkatan pembelian bahan mentah dan komponen serta permintaan berterusan terhadap barangan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pengarah AAPA Wong Hong berkata jumlah penumpang meningkat sedikit yang disokong oleh pertumbuhan lebih kukuh dalam perjalanan jarak jauh manakala permintaan terhadap kargo udara terus berkembang.
“Secara keseluruhannya, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, syarikat penerbangan Asia Pacific membawa 289.5 juta penumpang antarabangsa, meningkat 1.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Permintaan terhadap kargo udara antarabangsa pula meningkat 5.6 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya.
Beliau menambah, keputusan terkini itu menyerlahkan daya tahan permintaan dalam persekitaran operasi yang mencabar dengan pasaran penumpang terus menyesuaikan diri dengan perubahan kapasiti dan corak perjalanan.
Dalam pada itu aktiviti pembuatan yang lebih kukuh serta permintaan terhadap barangan berkaitan AI turut menyokong aliran kargo.
Bagaimanapun, beliau memberitahu harga bahan api pesawat yang tinggi, sekatan ruang udara dan mata wang Asia yang lebih lemah terus memberi tekanan kepada kos operasi dan keuntungan.
Memandang ke hadapan, Wong menjelaskan perjalanan sempena cuti hujung tahun dijangka menyokong permintaan penumpang manakala pelaburan berterusan dalam infrastruktur AI serta aliran perdagangan berkaitan memberi prospek yang positif kepada pasaran kargo udara.















Tinggalkan Balasan