Angka Korban Gempa Bumi Colombia Meningkat Kepada 132, Lebih 570 Cedera

BOGOTA, 11 Ogos — Angka korban gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda barat Colombia pada Isnin meningkat kepada 132 orang, manakala lebih 570 lagi cedera, menurut kemas kini terbaharu kerajaan Colombia, lapor Xinhua.

Menurut laporan awal, 32 bandar di seluruh negara terjejas teruk, manakala lima ibu negeri iaitu Pereira, Cali, Quibdo, Manizales dan Armenia masih berada di bawah amaran merah.

Pereira merekodkan 60 kematian, diikuti Cali dengan 15, Quibdo lapan dan Manizales empat, menurut laporan itu.

Sebanyak 86 bangunan runtuh, manakala operasi di tujuh lapangan terbang digantung akibat kerosakan berkaitan gempa bumi.

Presiden Colombia Abelardo de la Espriella sebelum ini berkata kerajaan mengisytiharkan keadaan bencana nasional bagi menangani kesan gempa bumi itu.

Kedutaan China di Colombia pada Isnin berkata pihaknya mengaktifkan mekanisme tindak balas kecemasan sejurus selepas gempa bumi dan sedang memantau keadaan rakyat China di seluruh negara.

Setakat ini, tiada kematian atau kecederaan melibatkan rakyat China dilaporkan, menurut kedutaan. 

Menurut Perkhidmatan Geologi Colombia, gempa bumi itu berlaku pada 7.34 pagi waktu tempatan pada Isnin.

Pusat gempa terletak berhampiran San Jose del Palmar di wilayah Choco, pada kedalaman 96 kilometer.