MANILA/TAIPEI, 11 Julai — Angka korban akibat tanah runtuh dan banjir yang dicetuskan hujan lebat susulan Taufan Bavi di selatan Filipina meningkat kepada 17 orang, manakala sembilan lagi masih hilang, menurut agensi pengurusan bencana negara itu pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sepuluh daripada mangsa maut terkorban dalam kejadian tanah runtuh di pekan Malapatan, wilayah Sarangani, manakala dua lagi lemas di wilayah Bukidnon. Lima lagi maut dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Lanao del Sur.
Agensi itu berkata empat lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.
Lebih setengah juta penduduk terjejas akibat cuaca buruk itu, dengan lebih 11,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Bavi tidak membadai daratan Filipina, namun menguatkan angin monsun barat daya yang mencetuskan hujan lebat di kawasan terjejas.
Di Taiwan, lebih 1,100 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan pada Sabtu, manakala perkhidmatan feri digantung. Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi dan kereta api tempatan turut terjejas, dengan beberapa laluan beroperasi pada kapasiti yang dikurangkan berikutan keadaan cuaca buruk.
Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA) mengekalkan amaran taufan sederhana di darat dan laut bagi Taufan Bavi, dengan memaklumkan bahawa taufan itu dijangka berada paling hampir dengan Taiwan pada Sabtu dan membawa hujan paling lebat ketika menjejaskan pulau itu.
Pihak berkuasa berkata lingkaran ribut Taufan Bavi telah meliputi utara Taiwan dan bahagian timur pulau itu. Setakat ini, Taiwan belum melaporkan sebarang kematian atau korban besar akibat taufan berkenaan.













Tinggalkan Balasan