Demonstrasi Di Perancis Bertukar Kecoh, Polis Guna Gas Pemedih Mata

ISTANBUL, 1 Nov — Demonstrasi di beberapa bandar di Perancis bertukar kecoh pada Sabtu apabila pertembungan tercetus antara penunjuk perasaan dan polis, termasuk di Lyon dan Grenoble yang menyaksikan penggunaan gas pemedih mata, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Kira-kira 15,000 orang dilaporkan menyertai 65 protes yang diadakan di seluruh negara.

Menurut penyiar France Info, ketegangan di Lyon tercetus apabila sekumpulan penunjuk perasaan cuba menyimpang daripada laluan yang dibenarkan untuk menuju ke pusat bandar berhampiran Place Jean Mace, memaksa polis menggunakan gas pemedih mata.

Pihak berkuasa wilayah kemudian melaporkan penyertaan 19,000 orang dalam demonstrasi itu, dengan seorang mengalami kecederaan ringan di kaki manakala enam lagi ditahan.

Di Grenoble, tenggara Perancis, polis turut menggunakan gas pemedih mata susulan ketegangan berhampiran Place Gustave Rivet selepas perarakan penunjuk perasaan terbahagi kepada dua kumpulan.

Menurut pihak berkuasa wilayah Isere, seramai 7,300 orang menyertai demonstrasi berkenaan, manakala kira-kira 200 individu yang dikenali sebagai “black bloc” bertindak memecahkan perarakan itu buat sementara waktu serta membaling objek ke arah polis.

Sementara itu, di bandar pelabuhan Marseille, pertembungan tercetus apabila penunjuk perasaan membaling batu ke arah anggota polis antirusuhan yang menghalang laluan di Boulevard Chave.

Polis bertindak mara ke arah kumpulan berkenaan bagi menyuraikan mereka, namun perarakan tetap diteruskan menuju ke stesen kereta api Saint-Charles.

Pihak berkuasa tempatan menganggarkan sehingga 10,000 orang menyertai demonstrasi itu, dengan ketegangan mula tercetus kira-kira 4 petang (1500 GMT) apabila objek dibaling ke arah polis.

Situasi tegang turut dilaporkan di Toulouse, Rennes dan Nantes apabila penunjuk perasaan bertembung dengan polis.

Di Paris, perarakan yang bermula di Porte de Bagnolet berlangsung secara aman sehingga tiba di Porte de Charenton, iaitu lokasi terakhir bagi laluan yang dibenarkan.

Bagaimanapun, pertembungan tercetus sejurus selepas demonstrasi itu berakhir di daerah ke-12 Paris.