KUALA LUMPUR, 1 Nov — Rakyat Malaysia yang masih berada di Yaman dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan diri dan membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara itu secara sukarela, sementara penerbangan komersial masih tersedia, memandangkan keadaan keselamatan yang semakin tidak menentu.
Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Muscat, Oman menerusi notis yang dimuat naik di Facebook memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi perkembangan keselamatan di Yaman susulan peningkatan ketegangan dan konflik bersenjata yang berterusan di beberapa kawasan negara itu.
“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya merancang perjalanan keluar dengan teliti termasuk memastikan laluan selamat, pengangkutan tersedia dan dokumen perjalanan lengkap serta menyemak status penerbangan masing-masing,” menurut kedutaan itu.
Kedutaan turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan konflik, mengikuti perkembangan keselamatan terkini dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, rakyat Malaysia digesa menangguhkan sebarang perjalanan ke Yaman sehingga keadaan keselamatan di negara berkenaan kembali stabil.
Rakyat Malaysia yang masih berada di Yaman dan belum berdaftar dengan kedutaan digesa berbuat demikian menerusi portal melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my dan muat turun aplikasi MyWorldAlert.
Sebarang perkembangan dan maklumat penting akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi KBM di Muscat.
Bagi sebarang pertanyaan atau bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi talian kecemasan kedutaan di +968 7159 2388 atau menghantar e-mel ke mwmuscat@kln.gov.my.









Tinggalkan Balasan