Elon Musk Puji Pasukan China, Sifatkan Robot Humanoid Bakal Terajui Pasaran Global

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk memberikan penghormatan tertinggi kepada tenaga kerja tempatan di China atas kejayaan luar biasa yang dicapai oleh kilang gergasi, Gigafactory Shanghai.

Beliau menyatakan demikian dalam temubual eksklusif bersama Kumpulan Media China (CMG) pada Rabu, yang turut menyaksikan beliau berkongsi pandangan serta pemikiran terbaharu mengenai pasaran China, teknologi perintis dan peluang kerjasama pada masa hadapan.

Mengulas mengenai operasi perniagaan Tesla di negara Tembok Besar ini, Musk memuji status China yang memiliki asas yang amat kukuh dalam sektor industri pembuatan.

“Kejayaan besar yang dikecapi oleh Gigafactory Shanghai milik Tesla adalah bersandarkan sepenuhnya kepada komitmen dan keupayaan luar biasa pasukan kami di China,” ujar beliau.

Sementara itu mengulas mengenai robot humanoid, Musk menyatakan bahawa ini merupakan industri yang boleh diterajui bersama oleh China dan Amerika Syarikat (AS) di peringkat global. 

Beliau turut berkongsi visi masa hadapan di mana setiap individu mampu memiliki robot peribadi masing-masing bagi memudahkan urusan kehidupan seharian.