ISTANBUL, 19 Julai — England menewaskan Perancis 6-4 dalam aksi mendebarkan untuk meraih tempat ketiga Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Miami, Amerika Syarikat (AS).
England memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila membuka jaringan seawal minit ketiga, lapor Anadolu Ajansi.
Declan Rice memanfaatkan hantaran silap Desire Doue sebelum mara ke kawasan penalti Perancis dan melepaskan rembatan kencang ke dalam gawang.
The Three Lions menggandakan kelebihan pada minit ke-18 menerusi Ezri Konsa.
Pemain pertahanan itu mengatasi Adrien Rabiot untuk menanduk masuk bola, manakala penjaga gol Mike Maignan hanya mampu melihat bola menerjah gawang.
England menambah gol ketiga pada minit ke-37 hasil serangan balas pantas.
Gerakan itu bermula daripada aksi menyelamat cemerlang Dean Henderson sebelum percubaan Marcus Rashford dan Bukayo Saka pada mulanya dinafikan.
Bagaimanapun, Saka memanfaatkan peluang susulan untuk menolak masuk bola dengan tenang.
Saka sekali lagi menemui sasaran pada masa kecederaan separuh masa pertama bagi melengkapkan dua gol peribadinya.
Eberechi Eze melakukan hantaran tepat ke laluan pemain sayap itu, sebelum Saka membiarkan bola melintasi badannya dan melakukan penyudah kemas ke penjuru gawang pada minit ke-45+1.
England memanfaatkan sepenuhnya kelemahan benteng pertahanan Perancis untuk mendahului empat gol menjelang rehat, dengan dua jaringan Saka menjadi tumpuan.
Ia merupakan kali pertama Perancis dibolosi empat gol pada separuh masa pertama sejak aksi kelayakan Kejohanan Eropah menentang Yugoslavia pada April 1968.
Perancis memberi reaksi hampir serta-merta selepas permainan bersambung apabila Kylian Mbappe merapatkan jurang pada minit ke-48 menerusi penyudah kemas, sekali gus menghidupkan kembali harapan Les Bleus.
Kebangkitan Perancis semakin mendapat rentak enam minit kemudian apabila pemain gantian Bradley Barcola menyudahkan serangan balas pantas dengan rembatan kencang pada minit ke-54.
Perancis mengurangkan lagi defisit pada minit ke-66 menerusi satu lagi gerakan menarik.
Mbappe dan Michael Olise bertukar hantaran di pinggir kawasan penalti sebelum kapten Perancis itu melakukan penyudah tepat ke penjuru bawah gawang.
Jaringan itu membolehkan Mbappe mendahului Lionel Messi dengan dua gol dalam perebutan Kasut Emas, selain mengatasi pemain Argentina itu dengan satu gol dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang kejohanan berkenaan.
Ketika Perancis dilihat semakin hampir menyamakan kedudukan, Saka melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti pada minit ke-87 selepas Djed Spence dijatuhkan Malo Gusto.
Bagaimanapun, Les Bleus enggan mengalah apabila Ousmane Dembele menyudahkan gerakan Dayot Upamecano pada minit ke-90+6 untuk kembali memberi harapan kepada Perancis.
Ketika Perancis terus memburu gol penyamaan, England melancarkan serangan balas pada minit-minit akhir.
Jude Bellingham mara melepasi garisan tengah sebelum mengatasi Maxence Lacroix di dalam kawasan penalti dan melepaskan rembatan ke penjuru bawah gawang bagi gol ke-10 perlawanan serta jaringan keenam England.
England menamatkan kempen Piala Dunia 2026 di tempat ketiga, pencapaian terbaik mereka sejak muncul juara pada 1966, manakala Perancis menduduki tempat keempat.













Tinggalkan Balasan