Korea Selatan, ASEAN Bakal Perkukuh Kerjasama Susulan Krisis Asia Barat

MANILA, 22 Julai — Korea Selatan dan ASEAN dijadual membincangkan usaha memperkukuh kerjasama pada Rabu susulan konflik di Asia Barat, selain memajukan pelaksanaan visi perkongsian strategik komprehensif kedua-dua pihak, lapor Agensi Berita Yonhap. 

Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Korea-ASEAN dengan rakan sejawatnya dari Thailand di Manila pada sebelah petang.

Beberapa mesyuarat peringkat menteri berkaitan ASEAN berlangsung di ibu negara Filipina itu hingga Khamis.

Menurut pegawai kementerian, mesyuarat berkenaan dijangka menekankan kepentingan kerjasama lebih erat antara Korea Selatan dengan ASEAN ketika ketegangan di Asia Barat kembali meningkat, selain berdepan cabaran global lain.

Korea Selatan dan banyak negara anggota ASEAN sangat bergantung kepada import tenaga, sekali gus menjadikan mereka lebih terdedah kepada gangguan bekalan tenaga global dan laluan perdagangan maritim utama.

Selepas sesi pleno Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Selasa, negara anggota menyuarakan kebimbangan terhadap konflik yang kembali tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran.

Menurut laporan media asing yang memetik kenyataan bersama mesyuarat itu, konflik berkenaan dibimbangi terus menjejaskan perdagangan serantau serta mengancam jaminan bekalan makanan dan tenaga.

Korea Selatan dan ASEAN turut dijangka membincangkan pelaksanaan visi perkongsian strategik yang berteraskan tiga tonggak, iaitu kerjasama berpusatkan rakyat, pertumbuhan dan inovasi, serta keamanan dan kestabilan.

Visi itu dicadangkan Presiden Lee Jae Myung pada sidang kemuncak antara kedua-dua pihak tahun lepas.

Menurut pegawai berkenaan, kedua-dua pihak dijangka mengenal pasti projek kerjasama khusus dalam bidang berkepentingan bersama termasuk kecerdasan buatan (AI), kebudayaan, usaha bersama membanteras jenayah penipuan dalam talian dan keselamatan maritim.

Mesyuarat itu juga dijangka meneliti langkah memperkukuh daya tahan ekonomi menerusi penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala, peluasan kerjasama tenaga nuklear serta sokongan Seoul terhadap usaha integrasi ekonomi digital ASEAN, termasuk Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital.

Pada Jun, kedua-dua pihak memulakan rundingan rasmi untuk menaik taraf FTA berkenaan dengan matlamat memperluas kerjasama dalam ekonomi digital, mineral kritikal dan sektor baharu lain.

Korea Selatan dan ASEAN memeterai FTA bagi perdagangan barangan pada 2006, disusuli perjanjian berkaitan perkhidmatan pada 2007 dan pelaburan pada 2009.

ASEAN ialah rakan dagang ketiga terbesar Korea Selatan, dengan nilai eksport Seoul ke negara anggota ASEAN mencecah kira-kira US$122.5 bilion pada 2025.

Cho turut dijangka mendapatkan sokongan berterusan ASEAN terhadap usaha Seoul menggalakkan keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea, selain menggesa Korea Utara kembali ke meja rundingan.

Selain mesyuarat Korea-ASEAN, Cho dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawatannya dari negara anggota ASEAN, termasuk Filipina dan Thailand.