Pembangunan AI China Mengagumkan – Pemenang Hadiah Nobel Omar Yaghi

BEIJING, 20 Julai — China mencatat kemajuan pesat dalam hampir semua bidang sains dan teknologi hasil sokongan serta pelaburan berterusan kerajaan negara itu.

Dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG), pemenang Hadiah Nobel Prof Omar M. Yaghi berkata China turut melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) setiap tahun berbanding negara lain.

“Sokongan kerajaan bukan sahaja menyediakan lebih banyak sumber dan peluang kepada saintis muda untuk menjalankan penyelidikan, malah menawarkan platform lebih luas untuk mereka meneroka potensi serta menterjemahkan idea menjadi kenyataan,” katanya.

Yaghi menamatkan tempoh perkhidmatannya selama 14 tahun di Universiti California, Berkeley pada Julai 2026 sebelum menyertai Universiti Tsinghua di China.

Beliau turut menghadiri majlis perasmian Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC) 2026 yang juga Persidangan Peringkat Tinggi mengenai Tadbir Urus Kecerdasan Buatan Global di Shanghai pada 17 Julai.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden China Xi Jinping pada majlis perasmian itu, Yaghi berkata beliau amat bersetuju dengan pandangan Xi bahawa pembangunan AI perlu menjadi usaha yang membawa manfaat kepada seluruh dunia.

Sementara itu, majlis menandatangani Perjanjian Pertubuhan Kerjasama Kecerdasan Buatan Dunia berlangsung di Shanghai pada 16 Julai.

Yaghi berkata perjanjian itu ditandatangani oleh 29 negara, mencerminkan komitmen bersama untuk membincangkan tadbir urus AI serta pelbagai isu berkaitan perkembangan pesat teknologi berkenaan.

“Penubuhan pertubuhan AI antarabangsa itu akan membolehkan saintis dari lebih banyak negara bekerjasama mencari penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi seluruh umat manusia. Itulah makna sebenar perjanjian ini,” kata beliau.