KUALA LUMPUR, 2 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran supaya segera menghentikan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta kembali kepada pendekatan diplomasi susulan persengketaan yang tercetus semula antara kedua-dua negara.
Beliau memberi amaran bahawa serangan terbaharu yang kini melangkaui pihak yang terlibat secara langsung hingga menjejaskan negara lain di rantau berkenaan berisiko mengheret Asia Barat ke kancah konflik lebih dahsyat.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata pihak yang mempunyai keupayaan terbesar untuk mempengaruhi perkembangan situasi memikul tanggungjawab khusus untuk lebih banyak bersabar dan mengelakkan ketegangan daripada terus memuncak.
“Kedaulatan negara lain tidak boleh diketepikan. Tiada objektif ketenteraan yang boleh menghalalkan tindakan mendedahkan orang awam kepada konflik yang semakin meluas,” katanya.
Anwar turut mengingatkan supaya langkah ekonomi yang membebankan orang awam serta menjejaskan usaha diplomasi dielakkan, dan berkata tindakan sedemikian berisiko memburukkan lagi krisis berkenaan, bukan menyelesaikannya.
“Saya menggesa Amerika Syarikat dan Iran supaya segera menghentikan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta kembali kepada pendekatan diplomasi dan persefahaman yang dicapai pada Jun,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa konflik itu hanya boleh diselesaikan melalui pendekatan politik dan diplomatik, sambil menambah dunia tidak seharusnya dipaksa menanggung akibat daripada perang serantau yang semakin meluas.













Tinggalkan Balasan