Presiden China, Mesir Adakan Perbincangan

Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi mengadakan perbincangan di Kaherah pada Rabu.

Xi menegaskan bahawa pada tahun 1956, Mesir menjadi negara Arab dan Afrika pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China.

Sepanjang 70 tahun, hubungan China-Mesir berkembang dan menonjolkan ciri-ciri jelas seperti ‘saling percaya, muhibah, bekerjasama sepenuh hati dan menang-menang’.

Baru-baru ini, di bawah kepimpinan bersama, Perkongsian Strategik China-Mesir berkembang pesat.

Kedua-dua pihak mempunyai kesefahaman dan keserasian strategi dalam usaha memajukan pembangunan, meningkatkan kesejahteraan rakyat, dan menegakkan keadilan antarabangsa.

Menghadapi situasi antarabangsa dan serantau yang rumit, kedua-dua negara perlu saling menyokong, memperdalam kerjasama, dan konsisten dalam membina komuniti berkongsi nasib China-Mesir.

Kedua-dua pihak turut berbincang mengenai situasi Asia Barat. Xi menegaskan bahawa China menyokong negara-negara di rantau itu menyemarakkan semangat kejiranan dalam membina hubungan, mematuhi konsep keselamatan bersama, menyeluruh, bekerjasama dan mampan serta berusaha membina struktur keselamatan yang baharu.

Sehubung itu, Xi mengemukakan empat cadangan untuk keselamatan bersama, iaitu menggalakkan motivasi dalaman serantau; memajukan tadbir urus serantau secara menyeluruh; mengukuhkan asas pembangunan; dan meningkatkan kerjasama antarabangsa.

Selepas perbincangan, kedua-dua pemimpin menyaksikan penandatanganan pelbagai dokumen kerjasama dalam bidang pembinaan di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan, kecerdasan buatan, perdagangan dan rantaian bekalan.