BEIJING, 10 Ogos — Perubahan iklim merupakan cabaran bersama seluruh dunia dan usaha menanganinya memerlukan kerjasama antarabangsa.
Setiausaha Eksekutif Sekretariat Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), Simon Stiell berkata pencapaian dan sumbangan China dalam menghadapi perubahan iklim amat mengagumkan dan ia berkait rapat dengan keinginan politik kumpulan pemimpin China.
Dalam temu bual eksklusif dengan Kumpulan Media China (CMG) di Beijing baru-baru ini, Stiell menyatakan bahawa laporan Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) yang dikemukakan China pada 2025 menzahirkan komitmen teguh China dalam bidang terbabit.
“Segala komitmen yang dibuat pihak China bukan sahaja dapat direalisasikan, malah lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan.
“Sebagai contoh, China mencapai sasaran kapasiti terpasang tenaga fotovolta dan tenaga angin, enam tahun lebih awal daripada rancangan,” kata Stiell.
Pada masa sama, China turut menunjukkan bagaimana komitmen politik boleh diterjemahkan kepada langkah praktikal yang menghasilkan impak nyata, sekali gus membentuk model pembangunan yang boleh dijadikan rujukan oleh negara lain, kata beliau.
“Kepimpinan kerajaan China menawarkan contoh yang baik kepada pelbagai negara di dunia.
“China memanfaatkan skala ekonominya serta keupayaan inovasi untuk memberi impak besar kepada pasaran dunia, memacu inovasi teknologi dan pada masa sama membekalkan produk berkaitan kepada pasaran antarabangsa,” kata beliau.
Sebagai negara membangun besar yang bertanggungjawab, China secara konsisten mempertahankan multilateralisme, di samping mempromosikan kerjasama saling menguntungkan dalam menghadapi perubahan iklim.
Untuk rekod, UNFCCC merupakan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab menyokong usaha menghadapi perubahan iklim.













Tinggalkan Balasan