BANGKOK, 30 Okt — Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul memberi jaminan bahawa bekalan makanan dan sumber tenaga negara itu mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik, sambil menggesa rakyat supaya berwaspada namun tidak panik susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan gangguan di peringkat serantau dan global.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Jabatan Perhubungan Awam Kerajaan Thailand, Anutin berkata negara itu mempunyai hasil pertanian dan bahan mentah yang mencukupi bagi menjamin keterjaminan makanan.
Kenyataan beliau menyusuli nasihat yang dikeluarkan beberapa negara menggesa rakyat masing-masing menyimpan bekalan makanan yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya 72 jam sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kecemasan.
“Kerajaan sedang memantau perkembangan semasa dengan teliti dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan bekalan makanan serta tenaga negara terus terjamin,” kata beliau pada Jumaat.
Mengenai keselamatan tenaga, Anutin berkata kerajaan turut memantau perkembangan serantau dan kemungkinan kesannya terhadap harga tenaga, selain menyediakan sumber tenaga alternatif sebagai langkah berjaga-jaga.
Beliau turut memaklumkan kedutaan Thailand telah diarahkan untuk menjaga kebajikan rakyatnya yang berada di negara-negara yang mengeluarkan nasihat berkenaan serta memastikan mereka mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan berkaitan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow berkata Kementerian Luar sedang memantau rapat situasi di Asia Barat dan telah menyediakan langkah bagi membantu serta memberi amaran kepada rakyat Thailand di kawasan berisiko tinggi.
Beliau berkata pelan pemindahan turut disemak semula dengan kerjasama Angkatan Tentera Diraja Thailand dan sedia diaktifkan serta-merta sekiranya keadaan bertambah buruk.
Thailand juga boleh memanfaatkan pelan kontingensi dan pengalaman mengendalikan situasi seumpama itu sebelum ini, kata beliau.
Media baru-baru ini melaporkan bahawa beberapa negara termasuk United Kingdom dan Jepun, menggesa rakyat masing-masing menyediakan bekalan keperluan asas seperti makanan, air minuman dan ubat-ubatan yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya tiga hari sekiranya berlaku kecemasan atau gangguan terhadap perkhidmatan penting.









Tinggalkan Balasan