ISTANBUL, 21 Jun — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu berkata tiada sebarang bayaran laluan maritim akan dibenarkan di Selat Hormuz sepanjang tempoh gencatan senjata selama 60 hari yang sedang berkuat kuasa, sambil memberi amaran bahawa Washington mungkin mengenakan caj sendiri selepas tempoh itu, lapor Anadolu Ajansi.
Trump berkata selepas tempoh 60 hari itu, bayaran mungkin dikenakan bagi “perkhidmatan yang diberikan sebagai malaikat penjaga” kepada negara-negara Asia Barat bagi memastikan “pembayaran balik kos” yang telah ditanggung sebelum ini dan pada masa hadapan, sekiranya perjanjian muktamad gagal dimeterai.
“Tiada bayaran laluan akan dikenakan … melainkan yang dikenakan oleh dan untuk Amerika Syarikat,” tulis Trump menerusi platform media sosial Truth Social.
Amaran itu dibuat susulan pengumuman oleh Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran bahawa laluan perairan berkenaan akan ditutup susulan dakwaan pelanggaran komitmen oleh AS serta pencabulan gencatan senjata oleh Israel di Lubnan.
Bagaimanapun, Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) menolak dakwaan itu dengan menegaskan bahawa pasukan AS kekal “hadir dan berwaspada” bagi memastikan semua aspek perjanjian dipatuhi, sambil menambah bahawa trafik maritim masih berjalan seperti biasa.
“Iran tidak menguasai Selat Hormuz,” kata jurucakap CENTCOM Kapten Tim Hawkins kepada Axios.













Tinggalkan Balasan