Xi Jinping dan Presiden Kyrgyzstan Adakan Pertemuan di Bishkek

Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Kyrgyzstan Sadyr Japarov mengadakan pertemuan di Istana Keharmonian di Bishkek pada Isnin.

Dalam pertemuan itu Xi berkata hubungan China-Kyrgyzstan mencapai perkembangan pesat dan lonjakan besar, dan kedua-dua pihak perlu menyelaraskan strategi pembangunan masing-masing bagi mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Kyrgyzstan yang lebih mendalam dan praktikal.

Ujarnya, China akan terus menyokong usaha Kyrgyzstan dalam mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah.

Malah China juga bersedia menandatangani Perjanjian Kerjasama Persahabatan dan Kejiranan Baik yang Kekal bagi memperkukuh asas perundangan hubungan persahabatan kedua-dua negara.

Menurut Xi, kedua-dua pihak perlu meluaskan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan perdagangan digital, memajukan pembinaan Kereta Api China-Kyrgyzstan-Uzbekistan dengan kualiti tinggi.

Kerjasama dalam bidang tenaga, inovasi sains dan teknologi serta pertukaran kebudayaan dan kemanusiaan akan diperdalam, manakala kerjasama penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan turut diperluaskan bagi bersama-sama memerangi “tiga kuasa jahat” iaitu keganasan, ekstremisme dan separatisme.

Kedua-dua negara juga akan memanfaatkan platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) untuk melaksanakan inisiatif global serta membantu memelihara keamanan dan kestabilan serantau.

Sementara itu, Presiden Japarov mengucapkan tahniah atas pencapaian pembangunan China, serta menegaskan komitmen Kyrgyzstan untuk berpegang teguh kepada prinsip Satu China.