BUKIT MERTAJAM, 25 Julai — Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara hebat dan maju sekiranya rakyat masih terperangkap dengan pemikiran lapuk yang menanam kebencian antara satu sama lain.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat, khususnya golongan muda perlu menolak fahaman serta politik kebencian atau perkauman dan bangkit bersatu sebagai pemangkin perubahan bagi mengangkat martabat negara.
“Malaysia tidak mungkin terangkat sebagai negara hebat dan maju kalau kita masih terperangkap dengan pemikiran lapuk lama untuk menanam kebencian antara satu sama lain.
“Anak-anak muda mesti bangkit sebagai satu pasukan raksasa, membawa perubahan, mengangkat martabat semua rakyat negara ini,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian kemuncak National Training Week (NTW) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.
Anwar berkata Kerajaan MADANI mengamalkan pendekatan menyelesaikan masalah setiap kelompok masyarakat melalui dialog dan dasar yang inklusif, bukannya menghasut rakyat supaya saling bermusuhan.
Beliau menekankan masa depan Malaysia bergantung kepada kesungguhan generasi muda untuk terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan disiplin selain bekerjasama demi menjadikan negara lebih berjaya di peringkat serantau dan global.
“Justeru anak muda perlu memanfaatkan peluang latihan dan peningkatan kemahiran yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan kebolehpasaran serta pendapatan, sekali gus memastikan negara terus memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) terus memperluaskan peluang latihan, termasuk program reskilling(latihan semula) dan upskilling (menambah kemahiran) bagi membantu rakyat memperoleh pekerjaan serta pendapatan yang lebih baik.
Beliau turut menggesa anak muda memanfaatkan sepenuhnya penganjuran NTW dengan meneroka pelbagai peluang latihan yang ditawarkan serta mengemukakan pandangan bagi menambah baik program pembangunan kemahiran negara.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kedudukan ekonomi Malaysia kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global disokong oleh pelaksanaan reformasi ekonomi dan langkah kerajaan yang terus melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup.
Beliau berkata antara pencapaian yang direkodkan Malaysia termasuk nilai ringgit yang muncul sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negara serta pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.
















Tinggalkan Balasan