KUALA PILAH, 25 Julai — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu isu berkaitan kaum, agama, budaya dan latar belakang masyarakat tidak dijadikan sebagai bahan kempen oleh mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata sebagai pemimpin politik, mereka perlu menjaga tataetika dan adab dalam berkempen tanpa merendahkan mana-mana individu.
“Kita (pemimpin politik) tekankan tentang kebersamaan kita di dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional dan itu harus dihormati.
“Di peringkat negeri, biar pun banyak isu negeri yang harus kita santuni dan depani, tidak perlu untuk merendahkan mana-mana individu atau pemimpin yang pernah memimpin sebelum ini atau sedang memimpin. Kita boleh berbeza pendapat tetapi ada adab untuk menangani perbezaan itu,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Salam Agrikomoditi MADANI, yang turut dihadiri Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Dataran Melang di sini hari ini.
Beliau turut meminta semua pihak memberi tumpuan kepada isu yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengulangi pendirian BN untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata BN tidak pernah berhasrat untuk menjatuhkan Kerajaan MADANI menerusi pendekatan “tebuk atap”.
Sementara itu, di JOHOR BAHRU, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan adalah persefahaman politik untuk memastikan tiada pertembungan di kerusi yang ditandingi kedua-dua gabungan itu.
“Kita bukan gabung, kita hanya pastikan persefahaman ini (supaya) kita tidak bertembung (di kerusi) dan atas sebab itulah pihak-pihak lain jangan terkeliru dengan soal ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang.
Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada Selasa ini manakala hari mengundi 1 Ogos.
















Tinggalkan Balasan