KUALA LUMPUR, 19 Jun — Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya di hab pelancongan seperti Putrajaya digesa supaya konsisten menjaga kebersihan serta keselamatan fasiliti awam tanpa menunggu sesuatu isu itu tular di media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata aspek penyelenggaraan asas atau ‘housekeeping’ sepatutnya dilaksanakan secara berterusan dan tiada alasan untuk diabaikan.
Beliau berkata walaupun sesetengah projek naik taraf yang lebih besar memerlukan peruntukan tambahan, isu kebersihan dan keselamatan perlu diberikan keutamaan terlebih dahulu.
“Putrajaya merupakan hab pelancong. Pimpinan Perbadanan Putrajaya telah turun padang dan melaksanakan sedikit pembaikan. Tetapi untuk masa hadapan, semua PBT tidak ada alasan untuk (mengabaikan) isu kebersihan dan keselamatan.
“Saya minta semua pihak selepas ini lebih kerap turun padang untuk memantau,” katanya selepas meninjau projek naik taraf kemudahan penjaja di bawah Program Lestari Niaga berhampiran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung kerosakan kemudahan awam seperti lif dan eskalator di Putrajaya, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai tindakan susulan itu, Hannah memaklumkan pihaknya sudah berhubung dengan pengurusan Perbadanan Putrajaya dan kerja-kerja pembaikan telah dimulakan.
Sementara itu, beliau turut menasihati pengguna media sosial agar lebih bijak menilai sesuatu isu secara menyeluruh sebelum menyebarkannya memandangkan kandungan video yang tersebar kadangkala tidak memaparkan gambaran sebenar.
“Sekarang semua orang boleh jadi wartawan, tetapi maklumat dan fakta yang diberikan mungkin hanya 10 peratus (daripada situasi sebenar).
“Bagi setiap isu, ada banyak sudut dan pandangan yang kita kena dengar, bukan sahaja daripada pembuat video tersebut. Jadi, pengguna media sosial kena bijak dan pandai menilai sebelum menularkan sesuatu isu,” katanya.















Tinggalkan Balasan