Agong Berkenan Teliti Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan dipersembahkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan LKAN 2/2026 Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan serta LKAN 2/2026 Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri, Aktiviti Kementerian/Jabatan/Agensi Negeri dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri.

Laporan berkenaan dipersembahkan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi pada sesi menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Bukit Tunku, di sini.

Sultan Ibrahim turut berkenan meneliti laporan-laporan yang dipersembahkan oleh Ketua Audit Negara, selaras dengan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap aspek tadbir urus dan pengurusan kewangan negara.