PUTRAJAYA, 10 Okt — Pembinaan kuarters baharu di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Perak dan Papar di Sabah menerusi Belanjawan 2027 mampu meningkatkan kebajikan serta kesiapsiagaan anggota Jabatan Imigresen (JIM) dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata kemudahan kediaman lebih kondusif kerana ia bukan sahaja mampu meningkatkan kesejahteraan anggota dan keluarga malah membantu mereka memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang serta pengurusan tahanan.
Beliau berkata kebajikan anggota bukan sekadar soal penyediaan kemudahan sebaliknya adalah asas kepada kesiapsiagaan dan keberkesanan sesebuah organisasi penguatkuasaan.
“JIM melihat pengumuman Belanjawan 2027 bukan sekadar penambahan kemudahan fizikal tetapi juga sebagai amanah untuk menterjemahkan komitmen kerajaan kepada peningkatan prestasi dan mutu penyampaian perkhidmatan.
“Sehubungan itu, JIM akan memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya dalam penyelarasan pelaksanaan inisiatif berkenaan agar manfaat yang disasarkan dapat direalisasikan secara optimum,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata JIM turut menyambut baik pengumuman pembinaan Pejabat Imigresen Keningau di Sabah yang dijangka memperkukuh keupayaan jabatan dalam menyediakan perkhidmatan lebih sistematik, selesa dan cekap kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata pembangunan prasarana itu penting bagi memastikan persekitaran urusan yang lebih sistematik, selesa dan cekap sejajar dengan keperluan serta jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan awam yang berkualiti.
“Kedua-dua inisiatif ini adalah pelaburan strategik dalam memperkukuh kapasiti dan keupayaan organisasi dengan memberikan perhatian yang seimbang terhadap kesejahteraan warga kerja serta keperluan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Rumah Keluarga Angkatan Tentera akan dibina di Skudai, Johor serta kuarters baharu di Depot Tahanan Imigresen Langkap di Perak dan Papar, Sabah yang memanfaatkan hampir 900 anggota dengan kos lebih RM500 juta.













Tinggalkan Balasan