IPOH, 10 Okt — Kementerian Kesihatan (KKM) bakal memperluas skop Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) dengan melibatkan lebih ramai pesakit serta beberapa bidang kepakaran baharu susulan peningkatan peruntukan kepada RM200 juta di bawah Belanjawan 2027.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata tambahan peruntukan RM56 juta itu membolehkan lebih ramai pesakit dirujuk ke hospital swasta bagi mendapatkan rawatan dengan lebih cepat.
“Dengan peningkatan peruntukan daripada RM144 juta kepada RM200 juta, kita akan memberi tumpuan kepada HSOP, termasuk memperluas pelaksanaannya kepada beberapa bidang kepakaran baharu yang bersesuaian.
“Inisiatif ini terbukti berkesan dalam memendekkan tempoh menunggu pesakit, khususnya bagi menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT) dan pengimejan resonans magnetik (MRI), yang sebelum ini mengambil masa antara tiga hingga enam bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemerkasaan Kerjasama Awam-Swasta Program Pembedahan Katarak di Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH), di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi penyumberluaran rawatan pesakit ke hospital lain sebagai langkah mengurangkan tempoh menunggu, khususnya di hospital kerajaan.
HSOP yang diperkenalkan pada 2024 itu kini memberi manfaat kepada pesakit yang memerlukan rawatan dalam bidang nefrologi, kardiologi, pembedahan kardiotorasik, kardiologi pediatrik dan radiologi.
Dr Mohd Azman berkata program itu membolehkan pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan lebih cepat, manakala caj yang dikenakan kepada mereka kekal mengikut kadar hospital kerajaan.
“Sebagai contoh, jika kos sebenar rawatan di hospital swasta ialah RM3,000, pesakit hanya perlu membayar caj mengikut kadar hospital kerajaan, manakala baki kos ditanggung kerajaan menerusi HSOP,” katanya.
Beliau berkata pemilihan pesakit untuk menyertai program itu dibuat berdasarkan penilaian doktor pakar di hospital kerajaan, khususnya bagi kes yang memerlukan rawatan atau prosedur diagnostik dengan segera.














Tinggalkan Balasan