Peruntukan Untuk TVET Berpotensi Perkukuh Usaha Lahir Tenaga Kerja Mahir – UniMAP

KANGAR, 10 Okt —  Peruntukan RM8 bilion dalam Belanjawan 2027 untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merentas kementerian berpotensi memperkukuh usaha melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri serta menyokong agenda transformasi ekonomi negara.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata komitmen kerajaan terhadap pembangunan bakat dan pendidikan teknikal turut selari dengan peranan UniMAP sebagai universiti teknikal yang memberi penekanan bidang kejuruteraan, teknologi dan pendidikan berteraskan TVET.

Beliau yakin tumpuan kerajaan kepada sektor strategik seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan industri bernilai tinggi akan turut membuka ruang kepada universiti untuk memperluas penyelidikan gunaan, memperkukuh kerjasama industri serta meningkatkan penghasilan inovasi. 

“Sebagai universiti teknikal, UniMAP komited untuk memastikan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan bakat yang dilaksanakan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri. 

“Kerjasama erat antara universiti, industri dan kerajaan amat penting bagi memastikan graduan bukan sahaja menguasai ilmu, tetapi turut mempunyai kemahiran praktikal dan keupayaan menyelesaikan masalah sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliman berkata UniMAP akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, agensi kerajaan, pihak industri dan alumni bagi memastikan peluang yang digariskan dalam Belanjawan 2027 dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Matlamat kita bukan sekadar melahirkan graduan yang cemerlang dari sudut akademik, tetapi juga membangunkan insan yang berkemahiran, berintegriti, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada masyarakat serta pembangunan negara.

“UniMAP komited untuk terus memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi, di samping memastikan kebajikan mahasiswa serta pembangunan bakat kekal sebagai keutamaan dalam mendukung aspirasi pendidikan tinggi negara,” katanya.