ALOR SETAR, 18 Nov — Kerajaan Kedah tidak mengutamakan pelaburan pusat data di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), tetapi tidak menolak sepenuhnya pelaksanaan projek seumpama itu di lokasi lain yang bersesuaian.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata negeri itu terbuka menerima pelaburan pusat data, namun penggunaan tanah, bekalan air dan tenaga elektrik yang tinggi perlu diambil kira sebelum projek demikian diluluskan.
“Bukan kita tak mahu (pelaburan pusat data) tapi keutamaan di KHTP kita beri kepada pelaburan industri yang boleh membuka peluang kerja yang lebih banyak untuk anak-anak negeri ini.
“Antara kawasan yang boleh dipertimbangkan ialah Bakar Arang, Gurun, Bukit Kayu Hitam, Padang Terap dan Padang Meha,” katanya ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.
Beliau berkata sebuah pusat data kebiasaannya hanya menawarkan kira-kira 100 peluang pekerjaan, sekali gus kurang memberi impak yang kecil dari segi penjanaan pekerjaan berbanding pelaburan untuk kilang dan industri pembuatan.
Ketika ditemui pada sidang media selepas persidangan DUN, beliau berkata terdapat dua permohonan daripada syarikat untuk membangunkan pusat data di KHTP, namun kerajaan negeri menyarankan agar Kulim Technology Park Corporation (KTPC), pihak yang menguruskan taman teknologi itu, untuk mencari lokasi alternatif.
“Pemilihan lokasi perlu mengambil kira kemampuan serta ketersediaan utiliti, bekalan tenaga, air dan tanah bagi memastikan pembangunan tidak menjejaskan keperluan sektor lain,” katanya.















Tinggalkan Balasan