Bot Migran Karam Di Laut Andaman Di Luar Perairan Negara

ALOR SETAR, 17 April — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menegaskan kejadian bot membawa kira-kira 250 hingga 280 migran yang dilaporkan karam di Laut Andaman baru-baru ini tidak berlaku dalam perairan negara.

Ketua Pengarah APMM Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata kejadian tersebut sekali gus tidak berada di bawah bidang kuasa serta tanggungjawab operasi agensi itu.

Beliau berkata pihaknya telah menerima maklumat mengenai kejadian itu dan sedang mendapatkan kerjasama risikan daripada negara jiran bagi sebarang perkembangan lanjut.

“Sebarang operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) di laut adalah tertakluk kepada negara yang mempunyai bidang kuasa di lokasi kejadian, selaras dengan konvensyen maritim antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata APMM akan menggerakkan aset sekiranya terdapat laporan mangsa hanyut atau penemuan mayat yang memasuki perairan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata APMM Kedah dan Perlis tidak mengaktifkan Ops GUARD setakat ini, namun aset telah ditempatkan di sekitar perairan utara Pulau Langkawi sebagai langkah pemantauan dan kesiapsiagaan.

“Pemantauan turut menggunakan aset radar RSS Tanjung Kemarung bagi mengesan sebarang pergerakan di kawasan sempadan perairan negara,” katanya.

Mohd Rosli turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan serta menjejaskan persepsi terhadap keupayaan agensi penguatkuasaan.

Beliau menegaskan APMM kekal komited memperkukuh rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.