DAP Johor Beri Kebebasan Kepada Perwakilan Buat Keputusan Pada Persidangan DAP – Teo

KULAI, 14 Ogos — DAP Johor memberikan kebebasan kepada perwakilan pada Persidangan DAP Ahad ini untuk membuat keputusan sama ada parti itu kekal atau tidak dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusinya Teo Nie Ching berkata pihaknya akan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat menerusi undian perwakilan pada persidangan berkenaan.

“Sebenarnya kita belum ada satu pendirian di negeri ini kerana ia membabitkan undi. Kami beri kebebasan kepada perwakilan pada persidangan Ahad ini untuk buat keputusan.

“Jadi, terpulanglah kepada mereka. Semalam, kita ada buat satu sesi dialog bersama Setiausaha Agung (Anthony Loke Siew Fook) untuk menerangkan tentang usul ini. Johor akan akur dengan keputusan pada Ahad ini,” katanya.

Teo berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Penyaluran Peruntukan Sekolah Angkat MADANI 2026 Kementerian Komunikasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Murni Jaya, Kampung Murni Jaya, Layang-Layang, di sini hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata pihaknya yakin perwakilan mampu membuat keputusan terbaik demi hala tuju parti dan negara.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai analisis seorang penganalisis politik yang mendakwa 14 kerusi Pakatan Harapan (PH) terletak dalam zon merah dan kuning sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersatu, Ahli Parlimen Kulai itu berkata pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

“Kita akan buat yang terbaik menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) untuk mempertahankan kerusi kita. Kita bersedia untuk menghadapi apa-apa sahaja situasi,” katanya.