Tiada Tempoh Ditetapkan Bagi Cuti Timbalan Presiden – Fuziah

MELAKA, 14 Ogos — PKR tidak menetapkan tempoh masa bagi Timbalan Presidennya Nurul Izzah Anwar untuk bercuti daripada tugas parti selepas menyuarakan hasrat menyambung pengajian.

Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata parti itu bersedia menerima kembali pemimpin nombor duanya untuk meneruskan tugas apabila beliau bersedia memikul semula tanggungjawab berkenaan.

“Timbalan Presiden akan bercuti selepas kongres. Ya, (beliau) menyelesaikan tugas sewaktu kongres dan selepas itu baru Timbalan Presiden akan bercuti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bersama Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata Nurul Izzah akan melaksanakan tanggungjawabnya pada Kongres Nasional PKR yang berlangsung tiga hari bermula hari ini, termasuk hadir merasmikan kongres, pembentangan AMK dan Wanita serta sesi penggulungan.

Sementara itu, Fuziah berkata Ucapan Dasar Presiden dijangka menyentuh berkaitan perjuangan, hala tuju, masa depan parti serta agenda reformasi institusi manakala usul yang dibahaskan pula bergantung kepada perwakilan.

“Ucapan Dasar Presiden tentu sekali akan bercakap berkenaan dengan memperkasakan parti, perjuangan, hala tuju, masa depan, agenda reformasi, institusi dan sebagainya.

“Ini terserah kepada para perwakilan apa-apa usul yang mereka nak bawa kerana mereka boleh bahas usul yang dibawa antaranya memperkasakan parti,” katanya.