JAIS Sahkan Tangkapan Kes Khalwat Dipercayai Libatkan Pemimpin Politik Di Petaling

SHAH ALAM, 16 Okt — Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan satu tangkapan berkaitan kesalahan khalwat dipercayai melibatkan seorang pemimpin politik di sekitar daerah Petaling pada 6 petang, semalam.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata dua individu itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata JAIS menasihati umat Islam agar tidak mengaibkan mana-mana individu dengan menjadikannya bahan spekulasi, perdebatan dan fitnah dalam apa juga cara.