PUTRAJAYA, 14 Sept — Sepasang suami isteri warga Vietnam yang disyaki mengaut keuntungan dengan bertindak sebagai ejen haram mengendalikan urusan imigresen warga asing dengan mengenakan bayaran hingga RM12,000 seorang, ditahan dalam operasi khas di sekitar Ampang, Kuala Lumpur, 11 Sept lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata pasangan berusia 34 tahun itu ditahan bersama bayi lelaki berusia 10 bulan, dipercayai anak mereka.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pasangan itu bertindak sebagai ejen haram dengan menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen khususnya kepada warga Vietnam.
“Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk menguruskan lanjutan pas, Pas Khas serta tiket penerbangan pulang ke Vietnam bagi pendatang tanpa izin (PATI) yang berada di Depot Imigresen.
“Bayaran yang dikenakan mencecah hingga RM12,000 bagi setiap individu bergantung kepada jenis urusan yang dilakukan. Kegiatan tersebut dipercayai telah beroperasi sejak tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata pemeriksaan di premis itu turut menemukan tujuh pasport Vietnam serta lima cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu.
Beliau berkata turut disita sebuah telefon bimbit, satu set komputer meja, salinan perjanjian sewaan premis kediaman, beberapa helai borang pengesahan warga Vietnam dan borang permohonan pasport Vietnam.
JIM, katanya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu serta dokumen dan peralatan yang dirampas bagi mengenal pasti modus operandi dan kemungkinan penglibatan individu lain.
Beliau berkata sebuah kenderaan jenis Ford Kuga yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan.
“Semakan awal mendapati lelaki warga Vietnam tersebut telah tinggal lebih masa, manakala isterinya memiliki Pas Pembantu Rumah Asing. Bayi yang ditemui bersama pasangan berkenaan didapati tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.
Zakaria berkata lelaki itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala isterinya disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata kes turut disiasat berkaitan kedudukan bayi berkenaan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan kesemua mereka telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

















Tinggalkan Balasan