Kibar Jalur Gemilang Lahir Daripada Kesedaran, Bukan Tunggu Arahan – Ismail Lasim

SEREMBAN, 24 Ogos — Pengibaran Jalur Gemilang tidak seharusnya dilihat sebagai amalan bermusim atau dilakukan hanya selepas menerima arahan, sebaliknya perlu lahir daripada kesedaran dan rasa tanggungjawab rakyat terhadap negara.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim berkata semangat patriotik itu, sewajarnya diterjemahkan menerusi inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, kenderaan dan premis masing-masing di Negeri Sembilan, sepanjang Bulan Kebangsaan dan sambutan Hari Malaysia.

“Ia juga menjadi simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan generasi terdahulu, yang memperjuangkan kemerdekaan.

“Rakyat di Negeri Sembilan termasuk semua jabatan dan agensi kerajaan, tidak seharusnya menunggu arahan untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebaliknya mengambil inisiatif sendiri sebagai tanda taat setia kepada negara,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai menjayakan inisiatif “Satu Rumah Satu Jalur Gemilang”, selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.

Dalam pada itu, Ismail mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan Jalur Gemilang yang dikibarkan berada dalam keadaan baik dan menggantikan bendera yang sudah lusuh, koyak atau rosak dengan yang baharu.

Selain itu, beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memainkan peranan aktif, dengan memantau bendera yang dikibarkan di kawasan awam, khususnya di lokasi tinggi dan menggantikan bendera yang tidak lagi berada dalam keadaan baik.

“Keadaan Jalur Gemilang yang dikibarkan turut mencerminkan sikap masyarakat dalam menghormati simbol negara. 

“Jalur Gemilang yang sudah lusuh, koyak atau rosak perlu digantikan dengan yang baharu supaya maruah dan imej simbol negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggalakkan rakyat di negeri itu untuk menyertai pelbagai program kenegaraan yang dianjurkan kerajaan negeri sepanjang Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan serta memperkukuh semangat perpaduan.