Medevac Bomba Pindah 12 Pesakit Ke Hospital Tahun Ini

KOTA BHARU, 21 Sept — Sebanyak 12 perkhidmatan pemindahan perubatan (Medevac) menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dilaksanakan tahun ini bagi membawa pesakit, terutama dari kawasan pedalaman ke hospital untuk mendapatkan rawatan atau kepakaran perubatan yang diperlukan.

Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata perkhidmatan itu turut melibatkan kes yang memerlukan pesakit dipindahkan ke hospital di luar Kelantan, termasuk di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, bergantung kepada jenis kes serta keperluan kepakaran perubatan.

Beliau berkata antara kawasan yang kerap memerlukan khidmat itu ialah Gua Musang, khususnya apabila pesakit memerlukan rawatan segera yang tidak tersedia di lokasi asal.

“Jumlah penerbangan Medevac tertinggi direkodkan pada 2025, iaitu 40 penerbangan, diikuti 24 pada 2023 dan 16 pada 2024.

“Perkhidmatan itu hanya dilaksanakan bagi kes kecemasan dan bukan penerbangan berjadual untuk membawa doktor atau pembantu perubatan ke kawasan tertentu bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Farhan Sufyan berkata antara kes yang memerlukan perkhidmatan Medevac adalah kes bersalin tertentu yang memerlukan kepakaran perubatan khusus, sekali gus menyebabkan pesakit perlu dipindahkan ke hospital yang bersesuaian.

Dalam pada itu, Farhan Sufyan berkata aspek keselamatan menjadi keutamaan bagi setiap penerbangan, termasuk memastikan helikopter menjalani penyelenggaraan berkala berdasarkan jumlah jam penerbangan bagi menjamin aset berkenaan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan boleh digunakan.

Beliau berkata bagi lokasi pendaratan yang tidak mempunyai helipad khusus, pegawai JBPM akan menjalankan penilaian risiko terlebih dahulu dengan mengambil kira keadaan kawasan terbuka serta cuaca sebelum penerbangan dilaksanakan.

“Kalau cuaca tidak mengizinkan, kami tidak akan membuat penerbangan. Kami juga akan memastikan kawasan pendaratan itu sesuai dan selamat pada hari berkenaan sebelum helikopter digunakan,” katanya.